Print responsibly,
use FSC certified paper.

Forest Stewardship Council dan Danzer Group Berpisah
Keputusan Dibuat Kerana Risiko Reputasi Akibat Perkaitan FSC dengan Pihak Berkepentingan Dalam Perbalahan di Republik Demokratik Kongo


BONN, Jerman

Lembaga Pengarah Antarabangsa Forest Stewardship Council (FSC) dengan berat hati telah membuat keputusan tegas untuk keluar daripada Danzer Group, kumpulan syarikat produk hutan, selepas penyiasatan mendalam yang dilaksanakan oleh Panel Aduan yang adil menyimpulkan bahawa mantan subsidiari Danzer SIFORCO telah terlibat dalam aktiviti yang tidak boleh diterima, seperti yang dinyatakan dalam Polisi Perkaitan FSC, di Republik Demokratik Kongo (DRC) pada 2011, ketika itu ia masih lagi sebahagian daripada Danzer Group. “Pemisahan”, penamatan semua hubungan kontrak dengan sesebuah syarikat, adalah hukuman paling berat yang boleh dikenakan oleh FSC.

“Berdasarkan saranan sebulat suara yang dikeluarkan oleh Panel Aduan yang menghabiskan masa beberapa bulan meneliti kes tersebut, dengan hasil kerja mereka dipantau oleh Jawatankuasa Penyelesaian Aduan Lembaga, Lembaga Pengarah membuat keputusan bahawa Danzer telah mencabuli Polisi Perkaitan FSC,”kata Kim Carstensen, Ketua Pengarah FSC. “Perkaitan berterusan kami dengan Danzer Group jelas sekali mengancam kredibiliti dan reputasi FSC,”tambah beliau lagi.
Tindakan pemisahan ini adalah hasil daripada sebuah aduan rasmi yang difailkan oleh Greenpeace, SIFORCO terlibat dalam pencabulan hak asasi manusia komuniti hutan. Kejadian-kejadian ini didakwa berlaku pada tahun 2011 di dalam dan di sekitar komuniti Yalisika di DRC. Danzer Group dan Greenpeace bersetuju dengan keahlian semua pakar yang membentuk Panel Aduan itu.

Walaupun Danzer Group tidak bersetuju dengan keputusan Panel Aduan mengenai tanggungjawabnya terhadap apa yang berlaku di Yaliska, ia telah memilih untuk menerima pemisahan tersebut, dan telah mengesahkan komitmennya terhadap penyelesaian isu khusus di Yalisika serta membangunkan prosedur baharu pengelakan dan penyelesaian konflik yang kukuh sebelum membuat permohonan perkaitan semula dengan FSC. “Kami menghormati hak FSC mengenakan tindakan pemisahan dalam keadaan yang mengakibatkan risiko reputasi yang buruk kepada sistemnya,” nyata Ketua Pegawai Eksekutif Danzer Group Hans-Joachim Danzer. “Meskipun keadaan ini mengakibatkan kesan kewangan yang besar kepada syarikat kami, namun kami percaya dengan prinsip pengurusan hutan yang bertanggungjawab yang digariskan oleh FSC dan akan memohon perkaitan semula secepat mungkin sebaik sahaja semua syarat perkaitan semula yang kami penuhi telah disahkan oleh pemantau pihak ketiga yang diluluskan oleh FSC”, tambahnya lagi.

Tindakan pemisahan ini mungkin bersifat sementara, namun Lembaga Pengarah FSC perlu meluluskan perkaitan semula. Ia akan dinilai semula apabila pengesahan bebas mendapati bahawa Danzer telah memenuhi syarat-syarat berikut:

  • Bahawa Danzer Group telah melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab yang dijanjikan oleh syarikat itu kepada penduduk Yalisika, yang mungkin termasuk pembinaan sebuah sekolah, pusat kesihatan dan sebatang jalan. Keperluan sebenar akan ditentukan melalui perundingan antara pihak-pihak berkepentingan dalam komuniti dan Danzer, yang akan diperantara oleh sebuah organisasi pembangunan sosial yang diluluskan oleh Sekretariat FSC. Danzer mesti menanggung semua kos aktiviti hasil daripada pengantaraan, serta kos pengantara bebas ini.
  • Bahawa Danzer Group telah mencipta dan melaksanakan prosedur baharu pengelakan dan penyelesaian konflik yang kukuh bagi bagi mengelak konflik seperti yang telah berlaku di dalam dan di sekitar Yalisika, dengan mengambil kira Panduan FSC tentang Kebenaran Bebas, Sebelum dan Termaklum.
  • Bahawa Danzer Group telah disahkan perkembangannya dalam memenuhi matlamat-matlamat ini oleh organisasi pihak ketiga yang diluluskan oleh Sekretariat FSC, dan dibayar oleh Danzer. 

Lembaga FSC juga membuat keputusan bahawa SIFORCO, yang kini dimiliki oleh Groupe Blattner Elwyn, tidak akan diberikan Perjanjian Perlesenan Tanda Dagangan baharu, yang menghalang pensijilan FSC,sehingga Danzer Group telah melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab mereka terhadap komuniti Yalisika dan sehingga pemantauan bebas mengesahkan bahawa SIFORCO tidak terlibat dalam aktiviti pembalakan haram, seperti yang dilaporkan oleh sesetengah pihak.

Danzer Group adalah salah satu daripada pembekal terbesar venier hiasan ke seluruh dunia dan salah satu daripada 10 pembekal utama produk kayu keras di Amerika Utara. Keputusan ini juga memberi kesan terhadap sijil pengurusan hutan FSC terbesar di Basin Kongo, yang diuruskan oleh subsidiari Danzer,Industrie Forestiere de Ouesso (IFO).

Reaksi Greenpeace:
“Greenpeace berpuas hati FSC menunjukkan bahawa Polisi Perkaitannya menyengat dan tidak memperjudikan reputasinya dengan meneruskan perkaitan dengan Danzer Group yang terlibat dalam pencabulan hak asasi manusia. Kami dapati bahawa keputusan penting ini kritikal bagi kredibiliti FSC.” kata Judy Rodrigues, orang kanan dalam kempen hutan Greenpeace International.
“Kami juga menasihati mereka supaya tidak segera mengadakan sebarang perkaitan semula dengan Danzer Group sehingga ia telah disahkan patuh kepada polisi secara bebas serta memenuhi tanggungjawab sosial kepada komuniti yang terlibat. Kes ini jelas menunjukkan FSC perlu segera mewujudkan perlindungan dalam kawasan berisiko tinggi di mana amalan rasuah berleluasa, dan kurangnya pentadbiran yang baik, peraturan undang-undang, serta persatuan awam yang tersusun.”

Untuk maklumat lanjut, termasuk ringkasan awam laporan Panel Aduan dan siri Soalan Yang Sering Diajukan mengenai Polisi Perkaitan FSC, sila lawati: https://ic.fsc.org/siforco-democratic-republic-of-congo.355.htm.

Forest Stewardship Council
Forest Stewardship Council (FSC) adalah organisasi bukan kerajaan bebas yang menggalakkan pengurusan hutan-hutan dunia yang memelihara alam sekitar, memberi kebaikan sosial dan menguntungkan daripada segi ekonomi. FSC telah ditubuhkan pada tahun 1993 bagi membantu pengguna dan perniagaan mengenalpasti produk-produk dari hutan yang diurus dengan baik. FSC menetapkan standard pensijilan hutan yang diperakui, menawarkan pengesahan yang boleh dipercayai kepada pembeli kayu dan produk kayu. Kini terdapat lebih daripada 175 juta hektar hutan dan 25,000 buah syarikat yang diperakui mengikut standard-standard FSC seluruh dunia. Untuk maklumat lanjut, lawati http://www.fsc.org. 

Hubungi:
Marcelle Peuckert
Pengarah Komunikasi
m.peuckert@fsc.org